Alternatif lain selain daripada pemansuhan “Sistem Kabotaj”

Diterbitkan pada: 3:56PM 16/08/2016
Kategori: Pro Politik
644 Pembaca

sabahan
KABOTAJ – PRO & KONTRA
PEMANSUHAN KABOTAJ BUKAN SATU-SATUNYA JAWAPAN KEPADA KESEIMBANGAN HARGA DI SELURUH NEGARA

Mengikut dasar sedia ada, hanya kapal-kapal Malaysia sahaja dibenarkan untuk mengangkut barangan buatan tempatan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, dan syarikat perkapalan asing tidak dibenarkan untuk mengangkut barang-barang keluaran tempatan yang dihasilkan di Semenanjung untuk ke Sabah dan Sarawak.

Syarikat perkapalan sentiasa mencatatkan perolehan tinggi tetapi sangat rendah pada margin dan sangat sensitif kepada kelewatan serta ketidakcekapan oleh pihak ketiga dan cuaca buruk.

Pada dasarnya kita menerima bahawa sebab utama perbezaan harga adalah disebabkan oleh OPERASI SEHALA yang kini dialami oleh perniagaan perkapalan, di mana pengangkutan masuk lebih tinggi daripada pengangkutan keluar.

Oleh itu, sekiranya terdapat kargo dalam jumlah besar yang boleh diisi dalam kontena-kontena kosong dari Sabah atau Sarawak, maka kos pengangkutan masuk boleh dikurangkan sehingga 30%.

Salah satu cara bagi mengatasi ketidak seimbangan perdagangan ini TANPA MEMANSUHKAN DASAR KABOTAJ ialah dengan menempatkan lebih banyak industri serta aktiviti-aktiviti pengeluaran produk yang berpotensi untuk dieksport ke Semenanjung Malaysia khasnya, serta ke luar negara amnya. Ini sekaligus dapat mengelakkan daripada kapal-kapal kontena yang membuat penghantaran masuk ke Sabah, balik kosong.

Misalnya, jika terdapat kilang minyak masak di sini, Sabah boleh mengeksport minyak masak ke Semenanjung menggunakan kontena dan ini boleh mengurangkan ketidak seimbangan perdagangan seperti yang disebutkan di atas.

Selain itu, beberapa lagi contoh boleh diberikan. Antaranya, hakikat bahawa Sabah dicatatkan mengimport lebih kurang 15 ribu tan metrik jagung setiap bulan dari luar negara. Sedangkan kita tahu bahawa tanah-tanah di negeri ini luas serta boleh digunakan untuk penanaman jagung bagi mengurangkan import. Bayangkan, 15 ribu tan metrik jagung setiap bulan dari luar negara itu sebenarnya melibatkan kos sebanyak RM200 juta setiap tahun. Dengan menggalakkan industri penanaman jagung di Sabah, bukan sahaja Sabah dapat mengatasi keperluan import jagung dari luar, malah Sabah akan sekaligus dapat mengeksport pula lebihan jagung ke Semenanjung Malaysia melalui kontena-kontena yang dikatakan SELALU BALIK KOSONG tersebut. Ini secara langsung akan dapat mengatasi masalah ketidak seimbangan operasi penghantaran barangan MASUK dan KELUAR dari negeri ini.

Kunci utama bagi mengatasi masalah kadar caj penghantaran masuk yang tinggi melalui kontena ke Sabah ini adalah dengan MENGATASI MASALAH KETIDAK SEIMBANGAN PERDAGANGANNYA.

Terdapat banyak lagi cara untuk menangani ketidak seimbangan perdagangan import dan eksport di negeri ini. Kerajaan harus mula menumpukan kepada pengwujudan industri-industri pengeluaran produk-produk yang mendapat permintaan tinggi bukan saja di Sabah, malah di seluruh dunia. Seterusnya penghantaran eksport produk-produk yang dihasilkan itu kita wajibkan untuk dibuat melalui kontena. Kerana dengan berbuat demikian, kontena-kontena tersebut tidak akan kosong lagi bila kembali ke Semenanjung Malaysia. Sekaligus akan mengurangkan kadar caj penghantaran masuk ke Sabah.