Jawapan – Jawapan kepada kenyataan dan dakwaan yang dibuat oleh Loretto S. Padua Jr, Setiausaha Agung, Parti Warisan Sabah pada 30 November 2016.

Diterbitkan pada: 6:13PM 30/11/2016
Kategori: Uncategorized
484 Pembaca

15284968_10209754806658483_551276357519580490_n

Kenyataan 1:
Loretto Padua Jr mempersoalkan komitmen Kerajaan Negeri dalam memerangi rasuah di Sabah terutamanya dalam “Skandal Watergate”.

Jawapan 1:

SPRM tidak lama lagi akan melengkapkan siasatan berhubung rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam Jabatan Air Sabah.

Buat masa ini, Kerajaan Negeri Sabah perlu menghormati dan menunggu laporan akhir daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyalahgunaan kuasa Jabatan Air Sabah sebelum mengulas lanjut.

Seperti yang dilaporkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Azam Baki, laporan siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara selepas pengawai-pegawai SPRM menyiasat hampir 12 tan dokumen.

SPRM telah menyoal siasat pegawai-pegawai Jabatan Air Sabah berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa and projek bernilai RM3.3 bilion. Sekali lagi saya ingin menegaskan di sini, peruntukan dan projek-projek ini adalah peruntukan dan projek-projek kementerian persekutuan Datuk Seri Shafie Apdal, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) NKRA – Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Projek sejak 2010.

YAB Ketua Menteri telah memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri akan mengkaji semula prosedur sedia ada berkaitan dengan projek yang melibatkan kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri untuk memastikan keadaan seperti ini tidak akan berlaku lagi.

Tambahan pula, skandal ini telah memberi pencerahan mengenai kepentingan merapatkan hubungan antara Kementerian Negeri dan Kementerian Persekutuan seperti KKLW. Ianya adalah penting bagi mencegah insiden seperti ini berlaku lagi.

Kekurangan informasi dan kerjasama mengenai projek BALB atau mana-mana projek-projek dibawah NKRA YB Datuk Seri Shafie Apdal, KKLW kepada Kerajaan Negeri merupakan salah satu sebab mengapa masalah ini timbul. Kami yakin dengan siasatan SPRM dan akan menunggu laporan akhir sebelum membuat kenyataan lanjut.

Kenyataan 2:
Loretto Padua Jr meragukan kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman dan hubungan dengan Kerajaan Persekutuan.

Jawapan 2:

YAB Datuk Seri Musa Hj Aman telah banyak memberi sumbangan kepada pembangunan negeri Sabah kita yang tercinta ini. Ia merupakan satu kenyataan yang tidak adil oleh Padua Jr. Setiausaha Agung Parti Warisan Sabah.

Beliau berkata, kepimpinan YAB DSP Musa Aman yang lemah dengan Persekutuan adalah punca utama mengapa terdapat begitu banyak sekolah usang di kawasan pedalaman, kekurangan kemudahan perubatan Kerajaan yang moden di Negeri ini dan penculikan berleluasa di Pantai Timur Sabah.

Saya ingin mengingatkan rakyat hanya dengan hubungan yang kuat kerajaan Sabah dengan kerajaan Persekutuan yang di nikmati sekarang, membenarkan negeri dan rakyat kita untuk berdiri maju seiring dengan negeri lain di Malaysia.

Sabah kini mempunyai infrastruktur yang lebih baik di banyak tempat di negeri ini, tetapi ia tidak bermakna bahawa pencapaian ini berhenti di sini sahaja, dan kita mesti terus berusaha gigih untuk menaikkan qualiti hidup di kalangan rakyat Malaysia di Sabah.

Mengenai keselamatan di Sabah, pelbagai usaha telah dijalankan dalam memastikan Kawasan Keselamatan Khas pantai timur Sabah (Esscom) terus selamat di samping memberi keyakinan kepada pelabur dan di kalangan pelancong.

Kejahilan dan keengganan memberi kerjasama penuh dan maklumat kepada Kerajaan Negeri Sabah dari awal-awal lagi dan sifat ketamakan YB Datuk Seri Shafie Apdal dengan projek-projek KKLW beliau adalah sebab utama mengapa masalah seperti “Skandal Watergate” boleh berlaku.

Saya berharap skandal ini boleh dijadikan peringatan tentang kepentingan hubungan yang rapat antara Kementerian Negeri dan Kementerian Persekutuan dari segi laporan dan prosedur yang berkaitan dengan projek yang melibatkan kedua-dua Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Kita memuji YB Dato Sri Ismail Sabri, dalam usaha Menteri KKLW untuk mengadakan perbincangan secara terbuka mengenai projek KKLW di Sabah dengan YAB Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman semasa kunjungan hormat pertama YB pada 10 November 2015 sejurus dilantik sebagai Menteri baru KKLW bagi menggantikan YB Datuk Seri Shafie Apdal pada 28 Julai 2015. Ini menunjukkan komitmen KKLW untuk meningkatkan hubungan dengan Kerajaan Negeri.

Sebagai cadangan untuk mengukuhkan dan perkasakan hubungan antara KKLW dan Kerajaan Negeri, saya ingin mencadangkan kepada YB Dato Sri Ismail Sabri untuk memansuhkan “Pejabat Cawangan Negeri” (PCN) KKLW di Kota Kinabalu. Ini boleh menjadi titik perubahan dalam perhubungan yang lebih baik antara KKLW dan Negeri Sabah yang telah rapuh dengan tindakan bekas Menteri KKLW, YB Dato Sri Shafie Apdal.

MD JOH BIN HJ WID
Setiausaha Politik Kepada
Menteri Kewangan
Sabah