Model Sistem Rodaan Remedi Terbaik Isu Penculikkan di Lautan Sulu

Diterbitkan pada: 10:33AM 22/06/2016
Kategori: Featured, Pemikiran
279 Pembaca

Jenayah rentas sempadan yang melibatkan perairan merupakan masalah global yang dihadapi oleh negara yang mempunyai sempadan laut. Jika jenayah ini tidak ditangani akan menyebabkan banyak masalah lain yang wujud yang mampu menyumbang kepada ancaman keselamatan kepada sesebuah negara.  Di Malaysia, baru- baru ini masalah yang dihadapi ialah masalah kepada perairan Lautan Sulu yang memyaksikan isu jenayah rentas sempadan iaitu dengan pelbagai isu antaranya ialah isu pencerobohan laut, penyeludupan dan penculikkan semakin menjadi-jadi yang memberi kesan yang negatif kepada keselamatan negara khususnya di Sabah.

 

Pelbagai usaha yang telah dijalan oleh pihak kerajaan untuk menangani isu ini antaranya ialah penubuhan ESSCOM atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah adalah merupakan kawasan kawalan keselamatan yang meliputi 1,400km kawasan pantai timur Sabah bermula dari Kudat sehinggalah ke Tawau   yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bin Abdul Razak pada 7 Mac 2013. Namun, kes penculikan masih berlaku, yang terbaru ialah kes yang melibatkan penculikan empat rakyat Malaysia diculik oleh  lelaki bersenjata di perairan Sulu tetapi sudah berjaya diselamatkan. Kes penculikkan ini berlaku saban tahun walaupun pelbagai usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan.

 

Jika kita sedar atau tidak dahulunya, Selat Melaka juga mengalami masalah yang sama dengan pelbagai isu jenayah rentas sempadan telah berlaku yang mengangu kepada kegiatan ekonomi dan keselamatan di perairan selat melaka walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia tetapi isu Lanun tetap berlaku saban tahun. Akhirnya salah satu cara yang telah dilaksanakan untuk menangani isu jenayah rentas sempadan ini ialah sistem rodaan bersama antara negara jiran yang meliputi udara dan laut dijalankan oleh tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia, dan Singapura akhirnya dapat menyelesaikan isu ini daripada semakin parah. Sistem Rodaan bersama ini merupakan salah satu konsep kolektif sekuriti yang  dijalankan melibatkan aktor- aktor negara dan aktor- aktor  bukan negara  dalam menangani sesuatu isu yang melibatkan masalah rentas sempadan.

 

Sebenarnya sistem rodaan bersama ini  boleh dilaksanakan di perairan sulu dengan kerjasama daripada Malaysia, Indonesia, Filipina, dan Brunei. Memperkukuhkan sempadan Malaysia di pantai timur sabah sebenarnya tidak cukup kerana keluasan pantai timur sabah ialah 1,400km dan tambahan lagi perairan sulu yang sangat besar dan mempunyai pulau yang banyak. Sistem rodaan bersama ini boleh dilaksana dalam bentuk pembahagian tempat rodaan atau masa rodaan daripada negara- negara yang terlibat tanpa melampaui sempadan laut sesebuah negara yang tertulis dalam United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS). Jika berlaku kerjasama keselamatan ini secara tidak langsung Malaysia dapat memperkukuhkan keselamatan dari segi domestik dan luaran dengan kerjasama Negara-Negara antarabangsa.

 

Isu jenayah rentas sempadan yang melibatkan perairan ini sebenarnya sukar untuk diselesaikan, namun dengan kerjasama antara negara-negara jiran dengan semangat Asean komuniti akan membawa kepada masalah ini boleh dibendung dan sekaligus diselesaikan untuk kebaikan semua pihak. Ancaman aktor bukan negara seperti Abu Sayaf  dengan kegiatan menculik perlu dilemahkan dan ditangani segera kerana mampu mengugat suasana damai antara negara di asia tenggara khususnya di perairan Sulu.