PELANCARAN PROJEK LEBUHRAYA PAN BORNEO DI LAHAD DATU SABAH

Diterbitkan pada: 3:09PM 19/12/2016
Kategori: Pro Politik
803 Pembaca

SUMBER GAMBAR NEWSMYHUB

LAHAD DATU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiba di sini sebentar tadi bagi melancarkan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, jajaran Jalan Pintas Lahad Datu. Beliau yang diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof tiba di tapak pelancaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sepagaya, di sini, pada kira-kira jam 10 pagi tadi.

 

Jalan Pintas Lahad Datu sepanjang tujuh kilometer adalah laluan baharu empat lorong dua hala, yang terkandung dalam pakej jajaran Lebuh Raya Pan Borneo fasa satu di kawasan pantai timur Sabah yang menghubungkan Lahad Datu dengan Kunak, Tawau, Kinabatangan dan Sandakan. Laluan yang bermula di Batu 7, Jalan Silam dan berakhir di Batu 3, Jalan Segama itu dibina dengan kos RM165 juta termasuk sebuah jambatan merentasi Sungai Sepagaya sepanjang 32 meter yang direka bentuk dengan mengambil kira aspek gempa bumi.

 

Apabila siap, ia akan memendekkan perjalanan dari Tawau ke Sandakan dan sebaliknya kepada tujuh kilometer berbanding 17 kilometer ketika ini, selain disasar mengurangkan kesesakan di laluan masuk ke bandar Lahad Datu. Pembinaan laluan itu turut disasar menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat, selain memperbaiki jaringan infrastruktur dan logistik industri, khususnya di Kawasan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu. Secara keseluruhan, fasa satu projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah merangkumi pembinaan laluan baharu, jalan pintas dan menaik taraf jalan sedia ada sepanjang 706 kilometer dengan kos pembinaan dianggarkan RM12.8 bilion yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2021.

Sumber Berita: http://www.bharian.com.my/node/225248