Usaha Kerajaan Negeri Melindungi Tanah Adat Sabah.

Diterbitkan pada: 2:02PM 18/05/2016
Kategori: Uncategorized
633 Pembaca

geran komunal
Tanah merupakan aset yang sangat mahal pada masa kini dan masa hadapan. Harga tanah akan meningkat saban tahun disebabkan manusia yang semakin bertambah dan manusia memerlukan ruang iaitu Tanah. Di sabah isu tanah merupakan isu yang sangat besar lagi-lagi apabila melibatkan Tanah Adat. Banyak punca berlakunya isu tanah adat ini ada yang berlaku disebabkan oleh masyarakat peribumi itu sendiri atau disebabkan oleh pihak- pihak lain yang mengambil kesempatan terhadap masyarakat peribumi.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Sabah telah memperkenalkan konsep geran komunal pada Mei 2010, berikutan pindaan terhadap peruntukan di bawah seksyen 76 Ordinan Tanah Sabah pada 2009. Geran komunal adalah sama dengan geran hak anak negeri sebenarnya, cuma ia (geran komunal) lebih besar kerana permohonan tanah dibuat secara berkelompok (nama mereka disenaraikan dalam geran berkenaan). Pendekatan itu juga dilihat sebagai satu langkah berkesan untuk menangani isu-isu berkaitan pemilikan tanah dan mempercepatkan proses permohonan tanah terutama yang melibatkan Hak Anak Negeri.

Kerana sebelum ini banyak isu berkaitan tuntutan tanah ini terpaksa menunggu lama baru dapat diselesaikan. Buat Setakat ini Geran Komunal dibawah Seksyen 76 Ordinan Tanah Bab 68 yang bermula pada tahun 2009 telah mengeluarkan 67 geran komunal dengan keluasan keseluruhan 43,731.62 hektar merangkumi 11 daerah dan 198 buah kampung melibatkan 9,758 benefisiari. Tambahan lagi 19 geran komunal dengan keluasan 13,226.75 Hektar merangkumi 35 kampung dan melibatkan 5,5055 benefisiari masih dalam proses kelulusan oleh kerajaan.Kerajaan Negeri dibawah DSP Musa Aman juga telah memutuskan bahawa geran komunal boleh dibangunkan secara usahasama antara benefisiari dengan agensi-agensi kerajaan atau swasta bertujuan untuk membantu benefisiari.

Selain daripada itu, Kerajaan negeri telah menubuhkan Unit Pentadbiran Tanah Anak Negeri Sabah atau PANTAS yang diluluskan DUN pada 2012. Berperanan melawat, memeriksa dan mengenal pasti kawasan tanah kerajaann yang diduduki anak negeri yang mempunyai hakmilik. Ketua Menteri Sabah juga menyatakan kini 9,037 lot dengan keluasan 15,138.54 hektar telah diukur dan daripada jumlah itu sebanyak 2,058 geran NT (Native Title) telah dikeluarkan dan diserahkan kepada penduduk di Kampung Long Pasia, Kampung Seri serbang dan Kampung Sungai Damit di Bongawan Serta kampung-kampung di daerah Kinabatangan.

Kesimpulanya, isu tanah tidak akan dapat diselesaikan jika hanya dipolitikkan tanpa memperjuangkan dengan cara yang mengikut undang-undang. Oleh yang demikian, isu masyarakat perlu diangkat dan perjuangkan dengan meperlihatkan hasil dengan membantu mereka. Masyarakat peribumi juga kena mengambil tahu hak mereka mengenai tanah adat. Tetapi memang tidak dinafikan isu tanah adat ini masih berlaku walaupun ada usaha daripada pihak kerajaan. Oleh demikian, penulis amat mengalakkan wujud pembincangan mengenai hal tanah adat ini daripada semua peringkat.

 

Sumber;

http://www.sinarharian.com.my/edisi/sabah-sarawak/konsep-geran-komunal-ikut-undang-undang-1.253782

http://www.bharian.com.my/node/99966

http://www.mynewshub.cc/2016/04/18/tiada-hasrat-guna-seksyen-80-85-ordinan-tanah-bab-68-untuk-ncr/