Isu Jurang Bandar dan Luar Bandar Jawapan Kepada Timb Ketua Warisan KB

Diterbitkan pada: 8:10PM 22/09/2017
Kategori: Featured, Isu
78 Pembaca

Tohmahan: “Jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar di Sabah semakin ketara disebabkan pemimpin yang hanya pentingkan diri sendiri”_Khaimilsah Rujeh (Timbalan Ketua Wira Warisan Kota Belud), Borneo Today, 20 September 2017.

 

Jawapan Balas; 

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata visi beliau sebagai perdana menteri adalah bagi merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia.

 

Satu daripada projek berimpak tinggi di Sabah adalah projek Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1,236 kilometer bernilai RM12.38 bilion yang bakal mengubah landskap pembangunan negeri Sabah.

 

Apabila siap kelak (tahun 2022), projek berkenaan berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan sosioekonami Sabah, termasuk merangsang pembangunan sektor Pelancongan serta pembabitan rakyat Sabah dalam bidang perniagaan yang lebih berdaya saing.

 

Kerajaan Pusat dan Negeri sentiasa berusaha agar tidak lagi wujud jurang pemisah dalam aspek pembangunan yang sentiasa dijadikan isu negatif pihak tidak bertanggungjawab mempengaruhi rakyat membenci kerajaan.

 

Usaha kerajaan untuk mengurangkan jurang pembangunan di luar bandar giat dilakukan sejajar dengan komitmen dalam memastikan setiap lapisan masyarakat dapat menikmati arus pembangunan. Menerusi komitmen itu sudah banyak kawasan kampung di luar bandar kini mulai menikmati perubahan kerana pembangunan yang dilakukan kerajaan.

 

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Kerajaan memberi peruntukan khas untuk sektor elektrik kepada Sabah dan Labuan menerusi bantuan kewangan RM4.14 biiion dari 2012 hingga 2016, manakala geran projek khas bekalan elektrik khususnya untuk dua wilayah ini berjumlah RM2.295 bilion.

 

Selain itu, wujud elemen subsidi tersembunyi diluluskan kerajaan melalui PETRONAS yang menyediakan subsidi RM390 juta tahun ini (2017) bagi mengurangkan tarif elektrik di Sabah, antara lain memastikan rakyat negeri ini terus mendapat pembelaan.

 

Sementara itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sentiasa memastikan Sabah dan Sarawak menerima peruntukan besar dalam pengagihan bajet untuk pembangunan kawasan luar bandar.

 

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kedua­dua negeri menerima 25 peratus peruntukan, manakala sebanyak 50 peratus di Semenanjung, namun ia dibahagikan kepada 11 negeri. Tiada isu Sabah dan Sarawak dianaktirikan seperti dakwaan pembangkang kerana kedua­dua negeri menerima peruntukan lebih besar berbanding negeri lain.

 

Namun pihak kerajaan sedar walaupun Sabah dan Sarawak menerima peruntukan yang banyak, proses untuk memenuhi semua keperluan di luar bandar lambat kerana negerinya sangat luas, lebih­lebih lagi 90 peratus kawasannya adalah luar bandar.

 

Bayangkan negeri Pahang yang sebesar Kinabatangan di Sabah masih ada kawasan belum menerima pembangunan menyeluruh, inikan pula Sabah yang luasnya hampir menyamai Semenanjung.