Jawapan Kepada Isu PATI di Sabah yang selalu dipolitikkan.

Diterbitkan pada: 3:39PM 06/07/2017
854 Pembaca

“Berdasarkan penyiasatan RCI disimpulkan bahawa ada wujudnya sindiket dan individu yang dibantu oleh pegawai yang pecah amanah mengambil kesempatan atas kelemahan sistem kerakyatan berinstitutsi. Perbuatan jenayah ini telah mencetuskan dan mempercepatkan kemasukkan pendatang tanpa izin ke Sabah dan menjadi antara punca dokumen pengenalan mudah diperoleh.

RCI juga mendapati bahawa tiada petunjuk jelas proses permohonan dan pengeluaran IC oleh JPN adalah salah mengikut Peraturan Pendaftaran Negara 1972. Perkara yang salah ialah tatacara yang telah disalahgunakan oleh pemohon dengan memberi maklumat (peribadi) yang tidak tepat dan selepas itu pengesahan maklumat (tidak tepat) itu dibuat oleh ketua kampung dan sebagainya (pihak berkuasa berkaitan). RCI juga mendapati bahawa penggunaan akuan berkanun atau surat akuan yang sebenarnya memudahkan penyalahgunaan”

Kabinet pada 8 Februari 2012 telah bersetuju dengan pembentukan RCI bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin di Sabah. Berdasarkan TOR yang diumumkan semua aspek diambil kira termasuklah keselamatan, sosial ekonomi dan alam sekitar memandangkan masalah ini perlu ditangani dengan lebih berkesan.

Kesemua pesuruhjaya yang dilantik seperti bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak iaitu Tan Sri Steve Shim Lip Kiong merupakan individu yang berpengalaman dan faham dengan masalah ini. RCI yang ditubuhkan pada 11 Ogos 2012 telah diberikan tempoh enam bulan untuk menyelesaikan masalah ini. Isu berkaitan ini juga perlu ditangani dengan rasional memandangkan masyarakat antarabangsa juga berminat dan prihatin dengan isu tersebut terutama apabila melibatkan soal hak asasi manusia.

Laporan RCI telah disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong pada bulan Mei 2014. Berdasarkan penyiasatan RCI tiada bukti yang menunjukkan kesahihan kewujudan “Projek IC” yang memberikan pemilikan kad pengenalan dan keterlibatan warga asing dalam proses mengundi sewaktu pilihan raya. Berdasarkan penyiasatan RCI disimpulkan bahawa ada wujudnya sindiket dan individu yang dibantu oleh pegawai yang pecah amanah mengambil kesempatan atas kelemahan sistem kerakyatan berinstitutsi. Perbuatan jenayah ini telah mencetuskan dan mempercepatkan kemasukkan pendatang tanpa izin ke Sabah dan menjadi antara punca dokumen pengenalan mudah diperoleh.

RCI juga mendapati bahawa tiada petunjuk jelas proses permohonan dan pengeluaran IC oleh JPN adalah salah mengikut Peraturan Pendaftaran Negara 1972. Perkara yang salah ialah tatacara yang telah disalahgunakan oleh pemohon dengan memberi maklumat (peribadi) yang tidak tepat dan selepas itu pengesahan maklumat (tidak tepat) itu dibuat oleh ketua kampung dan sebagainya (pihak berkuasa berkaitan). RCI juga mendapati bahawa penggunaan akuan berkanun atau surat akuan yang sebenarnya memudahkan penyalahgunaan.

Ekoran daripada laporan RCI, Jabatan Pendaftaran Negara telah memansuhkan sebanyak 28,500 kad pengenalan yang telah dikeluarkan dan mengetatkan lagi pemberian kad pengenalan baharu. Kerajaan juga akan menpercepatkan penghantaran PTI dari Sabah. Pada tahun 2014 sebanyak 17,700 telah dihantar balik dan jumlah ini meningkat hampir 28,000 pada tahun 2015. Setakat ini sebanyak 54,941 PTI yang dihantar balik sepanjang tahun 2014 sehingga Mei 2016.

Dalam usaha mengekang kemasukan PTI ke Sabah antara usaha yang telah dilakukan ialah penerusan perintah berkurung iaitu dari pukul 7 malam sehingga 5 pagi di 7 daerah iaitu di Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran. Esscom juga mempergiatkan pemburuan PTI di kawasan Esscom yang melibatkan sebanyak 1,823 ahli penguatkuasa dan berjaya melakukan penangkapan sebanyak 11,688 PTI.

Pada 15 November 2016, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah telah menghantar pulang sebanyak 400 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Filipina ke negara mereka melalui pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina dengan menggunakan feri ‘MV Lady Mary Joy 3’.

Kependudukan, Kewarganegaraan dan Kad Pengenalan Palsu

 Kerajaan juga memandang serius terhadap perkara ini kerana berkait rapat dengan isu keselamatan Negara. Pelbagai tindakan selama ini telah diambil bagi mengatasi masalah tersebut.

Masalah kanak-kanak tanpa negara (Stateless Children) juga merupakan antara isu dalam laporan RCI. Sementara ini kanak-kanak ini akan diberikan sijil beranak bagi membolehkan mereka bersekolah. Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Negara akan membuat penelitian secara terperinci mengikut kes-kes yang ditimbulkan bagi pemberian sijil lahir kepada kanak-kanak tanpa negara.

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melaksanakan siri kajian profil masyarakat Bajau Laut (Pala’u) yang hidup di perairan Sulu untuk mengenal pasti jumlah, lokasi dan status warganegara mereka di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Polis Tawau berkata bahawa ratusan PTI dari Indonesia mendarat di Batu-Batu, Sabindo dengan mudah setiap hari seperti yang dilaporkan oleh TransMedia Indonesia adalah tidak benar. Namum begitu laluan tersebut tidak dinafikan menjadi antara tempat pendaratan PTI dari Indonesia ekoran daripada kedudukan kawasan tersebut yang merupakan sempadan dengan negara jiran. Operasi pencegahan, siasatan dan tangkapan menerusi operasi bersepadu dengan agensi lain ataupun PDRM bagi mengekang PTI sentiasa dijalankan, buktinya pada tahun 2017 tujuh kes penyeludupan manusia melibatkan 43 tangkapan berjaya dilakukan. Pihak polis juga telah membuka kertas siasatan untuk menyiasat secara terperinci bagi mengesahkan kejadian dan pameran imej, termasuk watak-watak, gambaran tempat, kenderaan dan bot-bot serta polis yang disiarkan oleh akhbar Indonesia tersebut. Setakat ini pihak polis telah mengenal pasti beberapa individu yang dipaparkan dan tindakan lanjut sedang diambil untuk siasatan terperinci. Siasatan juga menjurus kepada salah laku dan integriti anggota dalam pasukan PDRM. PDRM juga akan mengerahkan operasi berterusan dan lebih agresif dengan menyasarkan kepada pergerakan orang tengah, tekong tekong darat dan laut, pemilik bot di laluan-laluan tikus seperti yang dipaparkan oleh video akhbar Indonesia serta laluan tikus lain seperti di Brumas, Brantian dan Kalabakan.

Setakat bulan Februari 2017, sebanyak 137 orang diperiksa dalam satu operasi bersepadu yang diadakan di kawasan pesisir Kunak. Tujuan operasi ini diadakan bagi mengesan kehadiran dan mengenal pasti tahap ancaman keselamatan terhadap masyarakat tempatan oleh Pendatang Tanpa Izin yang memasuki daerah tersebut. Di samping itu operasi ini juga turut bertindak mengumpul maklumat risikan di kawasan tumpuan tertentu untuk mengesan sebarang bentuk ancaman dan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah serta maklumat terkini tentang profil penduduk terbabit. Dalam operasi itu sebanyak 57 kaum lelaki, 32 kaum wanita dan 48 kanak-kanak diperiksa. Hanya seorang lelaki sahaja yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan.

Dalam isu berkaitan sindiket pengeluaran kad pengenalan palsu, satu pasukan khas akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci terhadap kumpulan yang terlibat dengan sindiket pengeluaran kad pegenalan palsu seperti yang berlaku di Sandakan dan Tawau. Kerajaan juga memberi tumpuan terhadap masalah kemasukan Pendatang Tanpa Izin (PTI) terutamanya di perairan Sabah. Antara Tindakan yang dilakukan ialah meningkatkan kawalan pintu masuk. Selain itu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengambil maklumat biometrik bagi setiap warga asing yang masuk dan keluar serta memasang alat sistem pengecaman imej di setiap pintu masuk di negeri Sabah.

Berdasarkan kepada rekod Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, jumlah keseluruhan PTI yang telah diusir sejak tahun 1990 sehingga Mac 2017 adalah seramai 553,692 orang. Bagi tahun 2017 sahaja jumlah pengusiran sehingga Mac adalah seramai 1,120 orang. Penghantaran PTI secara besar-besaran telah dilakukan pada akhir bulan Februari 2017 dengan menggunakan asset Tentera Laut Diraja Malaysia. Hasil rundingan PM dan President Duterte juga telah membuahkan hasil win-win situasi khususnya melibatkan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Filipina terhadap soal penghantaran balik PTI ke negara asal.