Jawapan Kepada YB Terence Siambun, Bendahari Agung Parti Warisan Sabah membuat kenyataan berhubung isu PATI dan ‘Projek IC’ di Sabah

Diterbitkan pada: 2:38PM 17/07/2017
Kategori: Isu
172 Pembaca

MEMPOLITIKKAN ISU PATI

 

Jangan mengambil kesempatan mempolitikkan isu pendatang asing tanpa izin (PATI) hanya untuk kepentingan politik masing-masing. Semua pihak harus melihat komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan yang kini giat mengatasi masalah PATI secara berterusan. Kerajaan begitu serius mengatasi masalah ini di mana kerajaan negeri dan Persekutuan bekerja rapat bagi mengatasi masalah ini. Kerajaan tidak pernah mengambil ringan perkara-perkara berkenaan PATI.

 

Kementerian Dalam Negeri menegaskan tidak wujud sindiket atau ‘Projek IC’ sebagai satu perancangan sama ada oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau mana-mana jabatan serta agensi di bawah kerajaan negeri Sabah secara langsung dan tidak langsung. Sebaliknya  pengeluaran kad pengenalan secara haram didalangi sindiket dan individu tertentu.

 

KAD PENGENALAN PALSU

 

Pengeluaran kad pengenalan palsu, sebenarnya faktor penarik Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) masuk ke Sabah kerana mereka itu sebenarnya dipandu (guide) oleh sindiket untuk datang. Kedatangan mereka itu menjadi masalah besar kepada negeri sehinggakan ada pihak-pihak tertentu mempolitikkannya, kononnya kerajaan yang memerintahlah yang terlibat.

 

RCI

 

Bagi merungkai isu kedatangan PATI ke Sabah, maka kerajaan telah menubuhkan RCI (PATI) pada tahun 2012 dan keputusan RCI itu telahpun diumumkan pada Disember 2014. Menerusi keputusan RCI (PATI) Sabah itu, kerajaan negeri telah membuat keputusan drastik dengan memburu, menangkap dan menghantar pulang PATI ke negara asal.

 

Laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing di Sabah mendapati tiada pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing dibuat demi kepentingan politik khususnya atas nama ‘Projek IC’.

 

Berdasarkan laporan suruhanjaya, apa yang sebenarnya terjadi ialah pengeluaran kad pengenalan palsu secara haram wujud disebabkan amalan rasuah oleh pegawai dan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang didorong faktor kewangan. Kerajaan telah mengambil tindakan ke atas mereka yang mengeluarkan kad pengenalan dan dokumen pengenalan diri lain tanpa mengikut undang-undang. Ini menunjukkan bahawa ‘Projek IC’ yang dibangkitkan tak timbul.

 

PATI DI SABAH

 

Berdasarkan bancian Jabatan Perangkaan 2010, jumlah keseluruhan penduduk di Sabah, termasuk warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia yang memiliki dokumen sah serta pendatang asing tanpa izin (PATI) ialah 3.2 juta orang.

 

Daripada jumlah tersebut, penduduk warganegara Malaysia di Sabah cuma 2.5 manakala selebihnya adalah asing termasuk yang memiliki dokumen dan dibenarkan bekerja di negeri ini serta PATI kira-kira 700,000 orang. Kerajaan mempunyai kesukaran menganggarkan bilangan sebenar PATI di Sabah kerana kehadiran mereka tidak didaftarkan, namun jumlahnya dianggarkan sekitar 250,000 orang.

 

MENGEKANG KEMASUKAN

 

Meskipun memakan masa yang panjang, kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa komited mengatasi masalah PATI secara berterusan. Sebab itu adanya program 5P (Pendaftaran, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran) bagi mengatasi masalah ini dan pada masa yang sama kerajaan minta semua majikan memastikan semua pekerja mereka berdaftar.

 

Dalam usaha mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ialah melalui penerusan perintah berkurung iaitu dari pukul 7 malam sehingga 5 pagi di tujuh (7) daerah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

 

PENGHANTARAN PULANG

 

Pada Tahun 2014 sebanyak 17,700 telah dihantar balik dan jumlah ini meningkat hampir 28,000 pada tahun 2015. Berdasarkan kepada rekod Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, jumlah keseluruhan PATI di Sabah yang telah diusir sejak 1990 sehingga Mac 2017 adalah seramai 553, 692 orang. Bagi tahun 2017 sahaja, jumlah pengusiran sehingga Mac 2017 adalah seramai 1,120 orang.