Kerajaan Pandang Sebelah Mata Industri Pelancongan Sabah?

Diterbitkan pada: 8:15PM 22/09/2017
Kategori: Isu, Pro Politik
206 Pembaca

Tohmahan: “Hampir semua 73 kampung di Kadamaian mempunyai Eko pelancongan dan homestay pelancongan dari dalam dan luar Negara. Malangnya, pemimpin hanya pandang sebelah mata”._Khaimulsah Rujeh (Timbalan Ketua Wira Warisan Kota Belud), Borneo Today, 20 September 2017.

Jawapan Balas;

 Banyak isu ditimbulkan oleh pihak pembangkang untuk memburuk-burukkan kerajaan tanpa melihat dan menilai usaha kerajaan selama ini dalam membantu membangunkan negeri.

 

Usaha-usaha kerajaan ini bukan hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal malah kerajaan juga memberi keutaman kepada pembangunan ekonomi penduduk luar bandar.

 

Sektor pelancongan misalnya, kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar telah membantu penduduk luar bandar mempromosikan produk dan destinasi pelancongan di kawasan mereka. Sejak tahun lalu (2016), usaha agresif telah dijalankan untuk membangunkan pelancongan di luar bandar memandangkan industri ini merupakan antara pemacu utama ekonomi negeri selain pertanian dan pembuatan.

 

Antara usaha tersebut ialah ‘Road­show Pelancongan Luar Bandar’ yang julung kalinya diadakan bertujuan memperkenalkan produk atau tarikan pelancongan luar bandar kepada pengusaha pelancongan dan orang ramai.

 

Empat daerah yang diberikan tumpaun adalah Kadamaian Kota Belud, Tambunan, Kiulu Tuaran dan Ranau yang akan dipromosikan sebagai destinasi pelancongan luar bandar dalam usaha kerajaan untuk memacu industri pelancongan negeri. Produk baru yang dikenali sebagai ‘pembersihan paru-paru’ pastinya bakal mempelbagaikan produk pelancongan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

 

Selama ini pelancongan hanya tertumpu di kawasan bandar namun dengan adanya siri jelajah tersebut, kekayaan nilai pelancongan yang terdapat di luar bandar dapat diketengahkan. Usaha ini juga merupakan antara janji kerajaan kepada penduduk luar bandar untuk membangunkan sektor pelancongan di kawasan pedalaman agar keuntungan pelancongan turut dinikmati penduduk luar bandar sekaligus meningkatkan taraf hidup masyarakatnya.

 

Kadamaian sendiri, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini (2017) iaitu dari Januari hingga Jun, menerima kira-kira 40,000 pengunjung. Jika dianggarkan setiap pelancong membelanjakan sekurang-kurangnya RM50 seorang, bermakna ia menjana pendapatan sekitar RM2 juta kepada kawasan tersebut.