Program Skim Keusahawanan Belia Sabah (YESS) yang menyediakan dana pinjaman berjumlah RM10 juta kepada belia.

Diterbitkan pada: 2:44PM 22/02/2017
2253 Pembaca

KOTA KINABALU – Program Skim Keusahawanan Belia Sabah (YESS) yang menyediakan dana pinjaman berjumlah RM10 juta kepada belia yang berminat menceburi bidang itu dijangka dilancarkan bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata program berbentuk kredit mikro itu merupakan inisiatif kerajaan Sabah untuk membantu golongan belia meningkatkan taraf hidup serta berdikari.

“Dalam Bajet 2017 yang dibentangkan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman tahun lalu, ada peruntukan khas berbentuk geran pinjaman yang kita letakkan di bawah YESS,” katanya kepada pemberita di sini hari Rabu.

Menurut Tawfiq, permohonan secara individu layak menerima pinjaman sebanyak RM2,000 manakala peminjam berkumpulan dengan keahlian antara dua dan lima orang layak menerima pinjaman sehingga RM5,000.

Bagaimanapun, katanya, belia yang berminat perlu memenuhi syarat tertentu termasuk mestilah warga Malaysia, berumur antara 21 dan 30 tahun, memiliki lesen perniagaan sah serta pernah mengikuti kursus tertentu seperti kemahiran yang membolehkan mereka memulakan perniagaan.

Katanya, belia yang telah mengikuti kursus kemahiran seperti menjahit, membuat kek, bakeri, pembaikan telefon bimbit tetapi sukar memulakan perniagaan kerana kekangan modal serta sukar mendapat pinjaman bank, boleh memohon skim itu.

“Hasil daripada kajian Indeks Belia Sabah mendapati antara yang memerlukan perhatian ialah kesejahteraan sosial kehidupan anak muda di mana antara penunjuknya ialah bidang keusahawanan masih amat rendah di negeri ini,” katanya.

Menurut Tawfiq, secara keseluruhannya YESS lebih mudah berbanding mendapatkan pinjaman daripada institusi perbankan dan sasaran utama skim itu ialah belia luar bandar kerana kumpulan tersebut begitu sukar mendapatkan pinjaman bank.

Tawfiq berharap YESS akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh belia Sabah, sekali gus mencapai objektif skim berkenaan untuk melahirkan seramai mungkin belia yang berjaya dalam bidang keusahawanan.

Sumber: http://www.borneotoday.net/program-yess-dijangka-dilancarkan-mac-ini-menteri-belia-sukan/