Projek Samur berjaya atau tidak?

Diterbitkan pada: 12:31PM 15/08/2017
Kategori: Uncategorized
288 Pembaca

Projek Sabah Ammonia dan Urea (SAMUR) di kawasan perindustrian minyak dan gas Sipitang (SOGIP) dimulakan pada 2012, setelah diluluskan Lembaga Pengarah Petronas Chemicals Group (PCG) pada pertengahan 2011.

 

Samur adalah satu daripada beberapa projek Petronas di Sabah. Projek-projek yang lain termasuklah Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT), Saluran Paip Gas, dan Loji Janakuasa Kimanis. Projek-projek ini bukan sahaja dapat menjana pembangunan dalam pelbagai aspek tetapi juga paling penting, mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. Bagi projek SAMUR sahaja, kira-kira 90 peratus operator loji dan 80 peratus kakitangan penyenggaraan merupakan anak Sabah sendiri.

 

Perancangan Petronas dalam aspek tenaga kerja adalah teliti dan menyeluruh. Daripada awal permulaan projek, Petronas telah bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia di Sabah untuk menarik seberapa ramai anak tempatan menyertai bukan sahaja penduduk sekitar Sipitang tetapi seluruh Sabah. Terdapat dua kategori pengambilan iaitu bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), latihan diberi ialah untuk selama satu setengah tahun manakala diploma ke atas, selama enam bulan.

 

Latihan kemahiran amat dititikberatkan kerana loji Samur ini berteknologi tinggi, dan setiap pekerja harus lulus ujian standard Pembangunan Kecekapan Petronas bagi memastikan tahap kemahiran berada di tahap tinggi. Oleh itu, mereka akan dihantar untuk latihan kemahiran di kilang PCG di Bintulu, Sarawak; Gurun di Kedah, Labuan dan Kertih di Terengganu. Selain itu, akan ada peluang pekerjaan seperti penyenggaraan peralatan, paip, mengecat, scaffolding dan sebagainya dengan penyumberan luar.

 

Namun harus diingat bahawa setiap bidang pekerjaan memerlukan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berbeza-beza. Oleh itu, generasi muda Sabah terutama yang mempunyai latar pendidikan perlu berfikir kehadapan untuk mencipta peluang dan ruang untuk orang lain. Jangan terkongkong dengan mentaliti bahawa graduan hanya memikirkan selepas tamat belajar adalah bekerja makan gaji dan berjawatan tinggi yang merupakan antara penyebab utama peningkatan jumlah penganggur di Sabah.

 

Sebagai rekod, melalui program Memperkasa Modal Insan-Belia Bersama Majikan menerusi Unit Sabah Job Centre menyaksikan 4,756 orang mendapat kerja manakala Sistem Job Portal membantu 24,679 orang dengan kebanyakannya belia. Kerajaan juga giat bekerjasama dengan swasta bagi mengadakan pelbagai program latihan kemahiran atau separa mahir bagi meningkatkan kualiti dan kebolehpasaran belia tempatan